Melawat Galeri Mat Kilau di Jerantut

Hai,

Walaupun aku orang Jerantut, sejujurnya aku tak pernah jejak kaki ke Galeri Mat Kilau sebelum ni. Disebabkan suami nak jalan-jalan dan habiskan masa di Jerantut, akhirnya kami decide untuk melawat Galeri Mat Kilau.

Aku tak tahu sangat kisah mendalam Mat Kilau ni. Aku tahu Mat Kilau ialah pahlawan Pahang, tapi kisah sebenar hidup dan perjuangan dia? Surface level je. Bila dah pergi galeri ni membuatkan aku terfikir, perjuangan ni bukan sekadar tentang Mat Kilau, tapi tentang siapa kita sebagai orang Melayu hari ini.

Siapakah Mat Kilau?


Sebelum pergi lebih jauh, sedikit pengenalan tentang tokoh besar ini.

Nama: Muhammad Kilau bin Rasu
Asal-usul: Pulau Tawar, Jerantut, Pahang
Bapa: Tok Gajah (Imam Rasu), pembesar dan pahlawan kanan kepada Sultan Ahmad

Baru aku tahu, Mat Kilau bukan orang biasa-biasa. Dia dibesarkan dalam keluarga pejuang. Sejak kecil, Mat Kilau memang dah mahir ilmu persilatan, kebatinan dan strategi perang.

Bila baca sejarah Mat Kilau, aku kagum dengan orang Melayu zaman penjajahan. Semangat juang memang luar biasa. Demi mempertahankan tanah air, mereka bersatu, sanggup bermandi darah dan tinggalkan keluarga. Dan secara jujurnya, benda ni buat aku terfikir:

Kenapa Melayu zaman sekarang tak macam dulu? Di manakah silapnya?

Aku takde jawapan. Tapi mungkin sebab zaman berubah dan kita makin jauh daripada akar sejarah sendiri.

Yang aku paling kesian, orang Melayu sanggup bermandi darah, tapi akhirnya bukan bangsa yang kaya. Faktornya disebabkan Melayu memilih untuk menentang penjajah, bukannya bekerjasama. Melayu lebih fokus kepada pertanian dan bukan pendidikan.

Walaupun pemikiran ni dah lari sikit dari kisah Mat Kilau, tapi inilah fungsi sejarah, buat aku berfikir. Sejarah ibarat core fundamental untuk aku faham siapa diri aku sebagai bangsa Melayu.

Source: Pinterest


Salah satu perkara yang paling buat aku takjub ialah perigi lama yang dibina oleh Mat Kilau. Air perigi ni tak pernah kering. Perigi ni digunakan untuk sumber air orang dulu-dulu. Air perigi ni dikatakan berkhasiat. Boleh sembuhkan beberapa penyakit. Macam tahyul la sikit sebab kesembuhan tu datang daripada Allah bukan disebabkan perigi ni ajaib.


Tapi apa-apa pun, aku terfikir, betapa bijaknya orang dulu-dulu. Waktu ni, mana ada teknologi. Tapi dorang boleh berfikir macam mana nak cari mata air dan boleh jadi sumber berpanjangan. Like how? Adakah dorang cuba nasib je gali mana-mana tempat lepastu jumpa mata air? atau boleh dengar air mengalir dalam tanah macam ada telinga Superman? 😂 

Dekat galeri ni juga terdapat patung replika pihak yang memburu Mat Kilau. Pada zaman tu, British dibantu oleh tentera Sikh untuk menjejaki Mat Kilau dan pengikutnya.



Mat Kilau ni memang power. Ekonomi penjajah terjejas teruk. Banyak kos dikeluarkan semata-mata nak buru seorang lelaki. Kos seperti askar, senjata dan lain-lain. Bagi aku, Mat Kilau ni macam John Wick la. Siap ada bounty untuk siapa yang dapat tangkap Mat Kilau. Mat Kilau ni rebel dan berbahaya untuk penjajah sebab Mat Kilau bukan sekadar melawan. Dia mencetuskan kesedaran. Ramai orang Melayu mula bangkit menentang British disebabkan pengaruhnya.

Ke Mana Mat Kilau Lari & Kenapa Dia Menghilang?

Selepas penentangan besar-besaran di Pahang, Mat Kilau terpaksa melarikan diri ke Terengganu dan Kelantan. Tujuannya bukan sebab takut, tapi untuk menyelamatkan perjuangan.

British ketika itu menyebarkan berita bahawa Mat Kilau telah mati. Sebab dorang memang ingat Mat Kilau benar-benar mati. Mayat yang ditanam tu digantikan dengan sebatang pokok pisang. Beliau bersembunyi pun atas titah Sultan Pahang sendiri. Tujuannya supaya:

  • British berhenti memburu
  • Nyawa Mat Kilau terselamat
  • Keturunan dan pengikutnya tidak dibalas dendam

Mat Kilau hidup dengan identiti yang lain dan dikenali sebagai Mat Siam. Beliau muncul semula secara pada tahun 1969 disebabkan rindu dengan Pahang dan keluarga. Waktu ni usia dianggarkan mencecah 122 tahun, dan mengaku dirinya adalah Mat Kilau bin Tok Gajah.


Lawatan ke Galeri Mat Kilau buat aku sedar satu perkara, sejarah bukan untuk dikenang semata-mata, tapi untuk difahami dan dihayati. Supaya aku tahu dari mana aku datang, dan ke mana aku patut pergi.

Semoga kisah pahlawan ini terus hidup, bukan sekadar di galeri, tetapi dalam kesedaran aku sebagai bangsa.
Previous Post Next Post